Rumusan Kandungan Atharva_Veda

Bhaisajya Sūkta

Sukta-sukta ini adalah mengenai kesihatan dan ilmu perubatan. Pelbagai penyakit, punca-punca penyakit dan juga rawatannya diberikan di sini. Oleh itu, Atharva Veda juga dianggap sebagai pelopor sains Ayurveda (sains kesihatan). Kadang-kadang, Ayurveda juga disenaraikan sebagai suatu Upaveda atau subsidiari Atharva Veda.

Sukta-sukta ini mengandungi banyak ayat-ayat suci untuk mendoakan umur yang panjang dan badan yang sihat. Senarai nama-nama anggota badan yang diberikan di sini menonjolkan ilmu yang mendalam tentang anatomi manusia. Selain, tumbuh-tumbuhan dan herba-herba yang bersifat perubatan juga disenaraikan.

Selain penyediaan ubat dan remedi untuk sesuatu penyakit, mantera-mantera dan jampi untuk penyembuhan juga diberikan.

Āyusya Sūkta

Sukta-sukta ini mengandungi ayat-ayat suci untuk mendoakan usia yang panjang. Ayat-ayat suci ini hendaklah diucapkan semasa beberapa upacara seperti caulam (mencukur rambut pertama), upanayana (pemakaian benang suci), godana (menghadiahkan lembu) dan sebagainya.

Terdapat beberapa Ayat-ayat suci yang meluahkan hasrat untuk hidup selama 100 tahun.

Pemakaian 'Raksha Sutra' ('benang perlindungan') juga disarankan untuk usia yang panjang.

Pauṣṭika Sūkta

Pusti bermaksud kemajuan dan kesejahteraan duniawi. Sukta-sukta ini amnya mengandungi doa-doa untuk mendapatan rahmat dewa-dewi seperti Marut dan Parjanya demi mendapatkan hujan yang secukupnya, hasil bumi yang baik, dan juga untuk kerja pembinaan rumah, kejayaan aktiviti pertanian atau perniagaan. Ritual-ritual yang bertujuan untuk kebaikan dinamakan sebagai 'suklendrajāla.'

Ābhicārika Sūkta

Sukta-sukta ini adalah bertujuan untuk menghapuskan atau mencederakan musuh -musuh yang menghalang kemajuan atau mengancam diri dan harta benda seseorang. Dengan memuaskan dewa-dewi atau sesuatu roh halus, seseorang boleh memenuhi hasratnya. Kaedah ini dinamakan sebagai 'yatu' atau 'krtya'. Perkataan 'kṛṣṇendrajāla' digunakan untuk merujuk kepada ritual ilmu sihir yang digunakan di sini.

Antara ilmu-ilmu sihir yang diberikan ialah seperti untuk menghapuskan kekasih pasangan seseorang, menghapuskan roh-roh jahat, memukau orang lain untuk memenuhi sesuatu, dan sebagainya.

Prayascitta Sūkta

Ini ialah ritual-ritual untuk menawar kesan negatif akibat kegagalan melakukan atau melakukan sesuatu upacara agama dengan cara yang salah. Petanda-petanda buruk dan ritual untuk menentangnya juga diberikan.

Strikarma Sūkta

Ini ialah sukta-sukta mengenai upacara perkahwinan, cinta dan subjek-subjek berkaitan. Ritual untuk mendapatkan kembali cinta juga diberikan di sini.

Rajakarma Sūkta

Sukta-sukta ini adalah berkaitan sistem politik pada masa lampau Doa-doa untuk kemenangan dalam peperangan dan ayat-ayat suci yang meluahkan cinta kepada ibu pertiwi juga diberikan di sini.

Brahmanya Sūkta

Sukta-sukta ini menghuraikan tentang sifat-sifat Brahman, Tuhan Yang Mutlak. Idea-idea falsafah yang diberikan di sini membentuk suatu kaitan dengan idea-idea dalam Rig Veda dan Upanishad..

Nama-nama Brahman atau Tuhan yang diberikan di sini adalah agak unik seperti Kāla, Skambha, Ucchiṣṭa, dan Vrātya. Brahman adalah raja segala ciptaan. Alam semesta ini telah lahir dari-Nya kerana itu adalah niat-Nya (Atharva Veda 19.53.8).

Matahari adalah simbol kuasa-Nya dan ia dinamakan 'Rohita,' 'Si Merah'. Matahari disamakan dengan Tuhan sendiri.